oleh Seif Jamalullail pada pada 05hb Oktober 2011 pukul 6.03 ptg
Dari Hadramaut , Yaman seorang ketitih turunan Nabi Muhammad saw iaitu Syed Ahmad bin Syed Hussain bin Aqil bin Abdullah bin Muhammad bin Salim bin Ahmad bin Abdurrahman bin Ali bin Muhammad Jamalullail, bersama anak saudara beliau yang bernama Syed Alwi bin Syed Abdullah bin Syed Hussain kenusantara adalah melalui jalan laut dan singgah ke Palembang dan beliau menetap di sana beberapa ketika sebelum meneruskan perjalanannya ke tanah melayu (Kedah) sekitar tahun 1735M dengan tujuan menyebarban risalah Allah (berdakwah) dan berdagang.
Syed Ahmad meneruskan pelayaran ke negeri Kedah manakala anak saudaranya Syed Alwi menetap di Palembang sebelum berhijrah ke Betawi (Jakarta). Penulis sempat menziarahi makam anak kepada Syed Alwi , iaitu Syed Abu Bakar di Mangga Dua Jakarta pada tahun 2005.
Apabila sampai di negeri Kedah, Syed Ahmad menumpang dirumah kenalannya iaitu Syed Muhammad Thoha Al-Qadri di Kampung Limbong, Langgar Kedah. Syed Muhammad Thoha Al-Qadri mempunyai tiga orang anak, iaitu seorang perempuan dan dua orang lelaki. (Syarifah Aminah Al-Qadri , Syed Ibrahim Al-Qadri dan Syed Umar Al-Qadri). Tidak lama kemudian beliau dinikahkan dengan Syarifah Aminah Al-Qadri yakni anak kepada Syed Muhammad Thoha Al-Qadri.
Dalam tahun yg terdekat inilah, anak-anak lelaki Syed Muhammad Thoha Al-Qadri telah merantau ke Chenak utk berdakwah dan berniaga disana dan mereka mendapat tempat dalam masyarakat melayu di Chenak. Syed Ibrahim Al-Qadri yang sememangnya mempunyai ilmu agama yang tinggi dan mempunyai pengaruh yang kuat dibumi Chenak sehingga digelar “Tokku Chenak”
Hasil pernikahan Syed Ahmad tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang bernama Syed Abu Bakar Harun atau lebih dikenali sebagai Syed Harun pada tahun 1737M. Semasa Syed Harun baru meningkat remaja, ayahandanya telah kembali mengadap Allah swt pada tahun 1751M. Jenazah Syed Ahmad dimakamkan di Kampung Limbong Langgar, Kedah yang mana disekitar permakaman tersebut terdapat ahli keluarga mertua beliau.
Tinggallah Syed Harun bersama Ibunya Syarifah Aminah dikampung dalam keadaan Dhoif dikampung Limbong. Beberapa ketika, bapa saudara Syed Harun yakni saudara lelaki bondanya yang menetap dan berdakwah di Chenak (Channa, Thailand) bernama Syed Umar Al-Qadri telah pulang ke Limbong untuk menziarahi keluarganya di Kedah dan membawa Syed Harun untuk merantau ke Chenak.
Sesampai Syed Harun di Chenak, beliau menumpang tinggal dirumah bapa saudaranya Syed Ibrahim Al-Qadri atau lebih dikenali dengan panggilan “Tokku Chenak”. Hiduplah Syed Harun di Chenak dengan bapa saudaranya disana. Melihat akhlak peribadinya yang bagus serta ilmu agamanya yang baik, tidak berapa lama kemudian, Syed Harun dinikahkan dengan sepupunya sendiri yakni anak perempuan Tokku Chenak sendiri iaitu Syarifah Mariam atau dikenal dengan mana “Nang Yam”.
Dengan pernikahan Syed Harun dengan Syarifah Mariam bermakna telah menaikkan “status” beliau dikalangan pembesar-pembesar Chenak secara automatik naik setakah lagi dan beliau menjadi semakin terkenal diatas peribadinya yang mulia disamping menjadi menantu kepada Tokku Chenak yang juga salah seorang orang besar disana.
Ketika kemuncak dewasanya Syed Harun, beliau mempunyai budak suruhan yang bernama Muhammad Arshad atau gelarannya “Awang” bagi membantu kerja-kerja perniagaan dan dakwah Syed Harun semasa di Chenak sekaligus menjadi teman dan orang kuat Syed Harun. Awang adalah anak kepada Nai Bukong atau nama aslinya Muhammad Yunus salah seorang pembesar Chenak juga, yang mana Nai Bukong ini sangat rapat dengan Syed Harun. Nama penuh Awang adalah Muhammad Arshad bin Muhammad Yunus. Awang inilah yang akan nanti diberi gelar “Dato Arau”.
Semakin hari perniagaan Syed Harun bertambah maju dan pengikutnya juga semakin ramai yang mengasihi beliau, sehingga menimbulkan iri oleh mereka-mereka yang sakit hati dengan keupayaan Syed Harun. Sudah menjadi adat, fitnah mula dibangunkan dari tidurnya dengan khabar-khabar angin mula dibawa bertiup keistana Raja Singgora (Songhkla) kononnya seorang Sayyid berbangsa Arab hendak menjadi raja di Negeri Chenak. Telah memerintah Raja Singgora kepada Syed Harun untuk mengadap baginda di istananya di Songhkla.
Apabila mendapat perutusan sedemikian, Syed Harun dan Tokku Chenak sepertinya sudah tahu niat disebalik undangan tersebut dan bermuafakat dengan Tokku Chenak untuk pulang ke Negeri Kedah tanpa perlu bertemu Raja Singgora demi menjaga keselamatan keluarga dan pengikutnya.
Justeru itu, Syed Harun dan Tokku Chenak berserta keluarga dan pengikut-pengikutnya berangkat pulang ke Negeri Kedah. Menurut satu sumber tulisan klasik, dikatakan “ Maka berangkatlah Tuan Syed Harun dan Tokku Chenak serta membawa sekelian harta benda dan hamba sahaya, maka orang-orang yang mari bersama Tuan Syed Harun itu adalah lebih kurang 500 orang, serta beberapa orang panglima-panglima Chenak yang mari bersama dia, oleh kerana kasih dan mesra. Berangkat itu dengan gajah lebih kurang 30 ekor.”(tradisi bergajah ketika pertabalan Raja Perlis diambil dari peristiwa ini)
Petikan kisah ini menampakkan betapa berpengaruhnya Syed Harun Jamalullail dikalangan penduduk dan pembesar Chenak ketika itu sehingga mereka sanggup berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka untuk bersama-sama beliau ke Kedah.
Setelah sampai di Kedah beberapa ketika, Syed Harun dan Tokku Chenak mengadap Sultan Tengku Dhiauddin Mukarram Shah (Raja Muda Kayang) yang berkuasa dijajahan Perlis dan Setol (masih dibawah Negeri Kedah) dan mendapat izin untuk menetap di suatu kawasan jajahan baginda Sultan iaitu disekitar Padang Siding dan Arau pada yang ada pada hari ini. Pengikutnya dari Chenak ditempatkan di Padang Siding sementara Syed Harun dan keluarga serta orang rapatnya menetap di kawasan Arau (sekarang sekitar Bandar Arau). Semenjak peristiwa itulah, dengan pembukaan dua kampung pada ketika itu mula diberi nama Arau dan Padang Siding.
Dijajahan Perlis, Syed Harun dihormati oleh penduduk-penduduk serta pembesar-pembesar Perlis ketika itu yang berbangsa melayu dan beragama islam. Tidak berapa lama menetap di Arau, Isteri Syed Harun yakni Syarifah Mariam Al-Qadri telah meningggal dunia tanpa meninggalkan zuriatnya bersama Syed Harun.
Ketinggian peribadi, berpengetahuan luas dalam agama, rupa wajahnya yang kearaban serta turunan Quraisy Bani Hasyim dan kelebihan yang dimiliki oleh Syed Harun, membuatkan Raja Muda Kayang yang ketika itu menjadi Pemangku Sultan Kedah telah tertarik hati dengan cirri-ciri yang ada padanya untuk menjadikan beliau menantu. Maka dipermudahkanlah pernikahan beliau dgn Putri Raja Kayang yang bernama Tengku Sofiah.
Pada tarikh 12 Rabiul Awwal 1212 Hijrah (1798M) setelah kira-kira 2 bulan 10 hari setelah perkahwinan mereka, bapa mertua Syed Harun yakni Sultan Dhiauddin Mukarram Shah atau Pemangkku Sultan Kedah, telah menganugerahkan “MUKIM ARAU” kepada Syed Harun Jamalullail yang mana penganugerahan tersebut berbunyi :
“Akan Mukim Arau itu diberi kepada Tuan Syed Harun menjadi pesaka sampai anak, cucu, cicit Tuan Syed Harun selama-lamanya”.
Dengan kata lain Mukim Arau adalah menjadi hak sepenuhnya oleh Syed Harun untuk mentadbirkannya yang demikian itulah Syed Harun disebut sebagai Penghulu Arau yang pertama.
Syed Harun wafat pada 29 Mei 1825 dan dimakamkan di Makam Diraja Arau (Masjid lama)
Seif Jamalullail
PENULIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.